Friday, December 18, 2009

ORANG AWAM UR BLOGGERS!

SALAM.....

Orang awam perlu beri kerjasama banteras rasuah


PETALING JAYA: Orang awam perlu menyalurkan maklumat berhubung gejala rasuah bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan, kata Ketua Makmal Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memerangi rasuah, Datuk Hisham Nordin.

Hisham yang ditemui pada sesi pembentangan makmal pada Program Gerak Transformasi Kerajaan (GTP) berkata hubungan dengan orang awam bagi mengekang rasuah adalah antara gerak kerja yang diutarakan makmal itu selain hubungan media dan azam politik.

"Tidak ada maknanya usaha kerajaan mengekang gejala rasuah ini sekiranya orang ramai tidak melibatkan diri dan membantu kami untuk membasmi masalah yang serius ini.


"Rasuah, sebagai satu permasalahan utama dan dipandang serius oleh rakyat, memerlukan komitmen kuat bermula dari peringkat atasan sehingga orang awam yang melaporkan setiap kejadian rasuah," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Sunway, hari ini.

Sementara itu, Azimah Din, seorang pegawai kerajaan berkata orang ramai perlu tahu bahawa mereka antara aset yang amat diperlukan kerajaan bagi membantu menghentikan gejala tidak bermoral itu.

"Memerangi jenayah bukan hanya mengurangkannya, tetapi hentikan terus, katanya," sambil menambah isu rasuah paling mendapat perhatian memandangkan gejala itu kini semakin berleluasa di negara ini. - Bernama